Perkara tersebut dimaklumkan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TNC HEPA) UUM, Prof. Madya Dr. Hendrik Lamsali kepada pelajar tersebut, Nurul Najwa Mohd Johari, 22, dari Kampung Haji Wan Omar, dekat sini semalam.

Hendrik ketika ditemui di sini hari ini berkata, pihaknya amat berterima kasih di atas sokongan dan kerjasama JKM yang memahami situasi keluarga berkenaan yang bukan sahaja di kekang kemiskinan malah terpaksa menghadapi masalah pengurusan harian bapa yang menghidap penyakit kronik.

“Saya bersama Pengarah Hal Ehwal Pelajar, Dr. Massudi Mahmudin dan Pengarah Unit Perkhidmatan dan Sokongan Pelajar (SSSU), Dr. Rajwani Md Zain telah menziarahi keluarga Najwa semalam untuk meninjau lebih dekat masalah mereka,” katanya.

Dalam kunjungan itu, Dr. Hendrik menyampaikan sumbangan kewangan dari Tabung Kebajikan UUM sebanyak RM2,000 bagi meringan beban Nurul Najwa dan ayahnya.

Justeru, beliau berharap Nurul Najwa dapat meneruskan pengajian di universiti itu dengan jayanya dan tidak perlu lagi bimbang kerana ayahnya akan di tempatkan di rumah tersebut sepanjang tempoh pengajiannya.

“Pihak pengurusan universiti akan cuba membantu kebajikan penuntut yang menghadapi masalah dengan kerjasama semua pihak termasuk agensi kerajaan yang berkaitan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan persatuan-persatuan pelajar UUM,” ujarnya.

Sepanjang tempoh Nurul Najwa menduduki peperiksaan di UUM baru-baru ini, bapanya dijaga oleh Kelab Patriot Anak Kelantan (Cakna UUM) bersama anggota Sukarelawan UUM secara bergilir-gilir. - UTUSAN ONLINE