Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, pendakwah yang lebih dikenali sebagai Ustaz Ebit Lew itu dalam perjalanan balik dari Pasir Gudang, Johor menuju ke Kuala Lumpur selepas memberi ceramah agama.

Menerusi catatan dalam Facebook miliknya, pendakwah itu mendakwa kenderaan jenis Toyota Alphard dinaikinya bersama tiga individu lain nyaris terbalik dalam insiden tersebut.

“Sebuah kereta masuk ke kanan tiba-tiba menghimpit kereta saya. Saya cuba elak sehinggakan hampir terkena pembahagi jalan kanan.

“Saya tercampak ke depan dan sempat mengucap. Terhentak kuat juga. Sakit badan dengan hidung. Ada kereta berhenti sekejap (tetapi) semua terus jalan,” katanya.

Ustaz Ebit Lew berkata, selepas kejadian itu beliau mendapati kereta yang menghimpit kenderaannya terbalik, namun kesemua pemandu dan penumpangnya teselamat.

“Walau kita dah bawa elok, tiba-tiba orang boleh leka atau mengantuk himpit kita. Syukur pada Allah semua selamat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Sembilan, Superintenden Ibrahim Mohd. Abdul Kadir mengesahkan kejadian.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan terlibat sedang bergerak dari arah selatan menuju ke utara dan berlanggar apabila tiba di lokasi kejadian.

“Tiada kecederaan serius dilaporkan dan kes di bawah Peraturan 10 LN 166/59,” katanya.- UTUSAN ONLINE