Ketiga-tiga pelajar berkenaan dipercayai melarikan diri dari pusat tahfiz tersebut gara-gara khuatir akan didenda selepas perbuatan mereka menggunakan telefon bimbit diketahui oleh guru mereka.

Bapa salah seorang pelajar tahfiz terbabit, Mahadhir Mat Lazim, 43, berkata, dia telah membuat laporan polis berhubung kehilangan anaknya di Balai Polis Bahau pada pukul 10.28 malam, Isnin lalu.

“Saya dimaklumkan anak saya Umair Fayed, 13, dan dua rakannya masing-masing berusia 13 dan 14 tahun keluar dari asrama mereka pada pukul 2 pagi. Kehilangan mereka disedari apabila tidak muncul untuk solat subuh berjemaah.

“Saya telah berusaha mencarinya sejak lima hari lalu termasuk di Damansara Damai, Petaling Jaya, Selangor berdasarkan maklumat orang ramai, tetapi masih belum menemuinya,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Mahadhir berkata, dia berasa sangat bimbang memikirkan keadaan Umair Fayed yang mengalami penyakit asma dan alahan teruk termasuk bengkak muka, sesak nafas dan pengsan jika digigit serangga.

Jelasnya, beliau menerima maklumat orang ramai bahawa anak lelakinya itu bersama dua rakannya kali terakhir dilihat sedang mengaji di Masjid Damansara Damai di Selangor pada 26 April lalu.

Justeru, beliau yang merupakan jurutera dan menetap di Beranang, Selangor memohon bantuan orang ramai yang mengesan anak lelakinya itu supaya menghubunginya di talian 011-5623 1838.

“Umair Fayed merupakan anak keempat dari enam beradik dan dia baru dua bulan belajar di madrasah tahfiz tersebut,” katanya. - UTUSAN ONLINE