Ekoran masalah itu, ramai yang terpaksa berulang-alik dan menanggung kos tambahan yang menjejaskan pendapatan harian.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Tuan Punya dan Pemandu Teksi, Kereta Sewa Daerah Port Dickson, Rosli Latif berkata, mereka pernah mengemukakan masalah berkenaan kepada wakil rakyat namun hampa ke­rana masih tiada penyelesaian diambil sehingga kini.

“Kami telah memperjuangkan isu ini sejak dulu lagi dan meminta ahli Parlimen sebelum ini membantu namun suara kami tidak diberi perhatian.

“Masalah ini menyusahkan pemandu teksi yang menggunakan kenderaan NGV kerana terpaksa ke Seremban hampir setiap hari bagi mengisi gas,” katanya dalam sidang akhbar berhubung isu-isu yang dihadapi pemandu teksi di sini.

Yang turut hadir Pengerusi Waris Nismilan, Norazizi A. Aziz dan kira-kira 50 pemandu teksi.

Dalam pada itu, Rosli turut bimbang memikirkan nasib pemandu teksi yang semakin kehilangan pelanggan ekoran lebih ramai penduduk gemar menggunakan perkhidmatan e-hailing dan bas.

“Kadang-kadang dalam sehari hanya ada tiga penumpang sahaja. Banyak bas yang masuk ke kawasan perumahan sehingga orang ramai memilih perkhid­matan itu kerana lebih murah.

“Hidup pemandu teksi semakin susah dan pendapatan juga tidak menentu seperti sebelum ini,” katanya.

Selain itu katanya, bayaran tol kadar sebanyak RM3.20 bagi laluan Port Dickson-Seremban yang perlu dibayar golongan pemandu teksi juga membebankan.

“Kadar tol ini membebankan kami lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi ketika ini.

“Kami rayu supaya pemandu teksi hanya dikenakan separuh daripada kadar bayaran tol itu,” katanya.