Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sejumlah 1,000 usahawan di negeri ini dijangka menerima manfaat daripada tabung itu yang diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2019 tahun lalu.

Hari ini, katanya, seramai 211 usahawan telah menerima geran tabung itu daripada 900 permohonan yang diterima sejak Mei lalu.

“Bagaimanapun amaun ini hanyalah kira-kira 20 peratus daripada jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM3 juta itu.

“Ini bermakna baki 80 peratus amaun yang diperuntukkan masih boleh direbut oleh usahawan tempatan kerana jumlah tersebut perlu habis diagihkan pada tahun ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Sijil Perakuan Penerima Geran TPUNS di sini hari ini.

Seramai 211 usahawan termasuk empat orang yang berstatus orang kurang upaya (OKU) hadir untuk menerima sijil tersebut.

Aminuddin berkata, pihaknya berharap dapat menyerahkan peruntukan itu yang tidak perlu dibayar balik melalui tiga sesi lagi dalam tempoh tiga bulan akan datang.

“Masih ada masa yang cukup untuk para usahawan membuat permohonan mendapatkan geran ini yang dikendalikan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Negeri Sembilan (PKNNS) selaku urusetia tabung,” ujarnya.

Jelasnya, kerajaan negeri berharap penubuhan TPUNS akan dapat membantu usaha membangunkan lebih ramai usahawan sekali gus menjana ekonomi negeri ini.

Beliau berkata, pihaknya sedia memberi pertimbangan meneruskan tabung berkenaan tahun depan sekiranya ia memberi kesan ekonomi yang baik kepada negeri ini. - UTUSAN ONLINE