Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson, Mohd. Hairulizam Mazelan berkata, haiwan berukuran kira-kira satu meter lebar dan 0.7 meter panjang itu ditemukan oleh petugas SJTJ yang melakukan rondaan di lokasi tersebut.

“Kami terima panggilan pada pukul 11.46 pagi dan tiba di SJTJ kira-kira tiga minit kemudian. Seramai lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson bersama sebuah jentera digerakkan bagi memberi bantuan.

“Pemeriksaan anggota kami mendapati terdapat seekor penyu dipercayai telah terperangkap selama kira-kira 15 minit di penghadang sampah tersebut,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Mohd. Hairulizam berkata, dua anggota Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson menggunakan tali dan jaket keselamatan memasuki saliran air tersebut untuk menyelamatkan penyu berkenaan.


SEEKOR penyu yang berjaya diselamatkan di Stesen Janakuasa Tuanku Ja'afar di Port Dickson hari ini dilepaskan ke laut. - UTUSAN ONLINE/IHSAN BOMBA

Menurut beliau, usaha mengeluarkan penyu itu dari tempat penghadang sampah tersebut mengambil masa kira-kira setengah jam.

Jelas beliau, haiwan yang tidak diketahui jantina itu kemudian dilepaskan semula ke laut selepas pemeriksaan mendapati penyu itu tidak mengalami sebarang kecederaan.


SEEKOR penyu yang terperangkap di penghadang sampah di Stesen Janakuasa Tuanku Ja'afar di Port Dickson hari ini.  - UTUSAN ONLINE/IHSAN BOMBA

“Penyu itu dilepaskan di kawasan pantai yang terletak kira-kira 200 meter dari penghadang sampah tersebut dan haiwan itu kemudian berenang memasuki laut,” katanya. - UTUSAN ONLINE