Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie berkata, inisiatif dalam bentuk skim bantuan kewangan itu tercetus hasil pandangan Lembaga Pengarah TNB.

“Kita percaya pendekatan ini bukan sahaja membantu pembangunan modal insan negara, bahkan boleh meningkatkan taraf kehidupan pelajar itu serta keluarganya.

“Harapan kami agar dermasiswa ini bukan sahaja dapat meringankan beban keluarga berpendapatan rendah dalam menampung kos pengajian di peringkat universiti, malah kemudian membolehkan mereka membangunkan kerjaya lebih baik pada masa depan.

“Ini adalah kesinambungan kepada komitmen TNB untuk memperkasa pendidikan di Malaysia dan membangunkan modal insan untuk negara. TNB percaya bahawa pendidikan jugalah yang boleh mengubah negara ke tahap lebih,” katanya dalam ucapan pada Majlis Makan Malam dan Penutup Konvensyen MyBF di sini malam tadi.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Amir Hamzah Azizan.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir; Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman dan Pengarah Yayasan Tenaga Nasional (YTN), Datuk Ir. Dr. Ibrahim Hussein.

Moggie berkata, pada tahun 2018, TNB melalui YTN telah memberikan tawaran pertama dermasiswa kepada 1,000 calon yang terpilih melalui pangkalan data Unit Pusat Universiti dan mendapat tempat di universiti awam terpilih di peringkat ijazah pertama dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Ujarnya, tujuh universiti awam yang terlibat dalam pelaksanaan Program MyBF pada 2018 ialah Universiti Teknologi Mara, Universiti Malaysia Sarawak, Universiti Malaysia Sabah, Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Universiti Malaysia Pahang, Universiti Malaysia Perlis dan Universiti Tun Hussein Onn.

“Selain daripada komitmen dalam bentuk penajaan berbentuk kewangan, TNB berpendapat para pelajar MYBF juga perlu dibangunkan dengan kompetensi tertentu agar mereka berdaya saing dalam pasaran apabila tamat pengajian kelak.

“Oleh itu, Lembaga Pemegang Amanah YTN pada mesyuarat Mac lalu, bersetuju dengan cadangan untuk mengadakan konvensyen ini sebagai satu permulaan program pembangunan pelajar.

“Objektif modul Konvensyen MyBF ini adalah supaya pelajar mendapat kemahiran asas dari segi komunikasi, kepemimpinan dan siasah diri bagi membangunkan keyakinan masing-masing sebagai persediaan memasuki alam pekerjaan,” katanya. - UTUSAN ONLINE