Yang Dipertuanya, Mohd. Zamri Mohd. Esa berkata, sebaliknya MPPD hanya mengeluarkan surat sokongan bagi permohonan penganjur untuk mendapatkan permit bagi acara bunga api.

Jelasnya, penganjur telah diminta mematuhi beberapa syarat antaranya perlu mendapatkan kelulusan daripada polis untuk permit bunga api dan program hendaklah mematuhi peraturan dan sah dari segi undang-undang.

“Bagaimanapun berdasarkan aduan orang awam dan pemantauan, pelaksanaan program tersebut adalah berbeza daripada permohonan yang dikemukakan oleh pihak penganjur kepada MPPD.

“Terdapat keresahan dalam kalangan orang awam mengenai aktiviti yang diadakan seperti meminum arak, pergaulan bebas dan lain-lain.

“Pihak MPPD telah mengenakan kompaun terhadap penganjur atas kesalahan mengadakan program tanpa mendapat kelulusan lesen daripada pihak MPPD terlebih dahulu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas penganjuran Neon Countdown 2019 malam tadi yang mendapat bantahan penduduk dan pertubuhan bukan kerajaan kerana bertentangan dengan budaya masyarakat dan boleh menyebabkan masalah moral.

Mohd. Zamri berkata, sehubungan itu mana-mana permohonan penganjuran sambutan atau hiburan terbuka akan dikaji dan diperhalusi secara tegas dan mendalam terlebih dahulu sebelum sebarang kelulusan dikeluarkan. - UTUSAN ONLINE