Kenderaan itu disumbangkan oleh pemaju BSS, Matrix Concepts Holdings Berhad (MCHB) yang juga membina masjid tersebut.

Sumbangan diserahkan kepada Pengerusi masjid itu, Zam Zam Mohd. Yusop oleh Ketua Perhubungan Pihak Berkuasa MCHB, Mustaza Musa dalam satu majlis di masjid berkenaan.

Yang turut hadir, Pegawai Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, Danial Farhan Dolmat dan Timbalan Pegawai Agama daerah, Mohd. Rushdan Ab. Hamid.

Mustaza berkata, sumbangan van jenazah tersebut adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat syarikat itu untuk kegunaan masjid tersebut.

Sumbangan itu, katanya, telah diumumkan oleh Pengerusi MCHB, Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin ketika majlis penyerahan masjid itu yang turut dihadiri oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun pada 11 April lalu.

“Selepas masjid ini siap dibina, kami melengkapkan lagi kemudahan dengan menyumbang sebuah kenderaan jenazah.

“Sumbangan ini juga adalah pelaksanaan fardu kifayah MCHB kepada masjid dan masyarakat setempat,” katanya.

Sementara itu, Zam Zam berkata, sumbangan van jenazah itu akan memberi kemudahan kepada kira-kira 4,000 penduduk di 14 kawasan perumahan dalam kariah masjid berkenaan.

Katanya, masjid yang terletak di kawasan seluas kira-kira 1.7 hektar itu dibina dengan kos RM15 juta dan boleh memuatkan 1,556 jemaah.

“Ia dilengkapi dengan ruang solat lelaki yang boleh memuatkan sebanyak 579 orang jemaah dan ruang solat wanita (317 jemaah) dan ruang solat terbuka (660 jemaah),” ujarnya.

Turut disediakan, tambahnya, ialah bilik untuk tetamu, imam dan muazzin serta 133 petak letak kereta dan 105 ruang letak motosikal. - UTUSAN ONLINE