Ini ekoran wang sumbangan orang ramai yang disalurkan melalui badan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Generasi Prihatin (Gen-P) sejak pukul 6.30 petang semalam telah mencukupi bagi menampung kos pembedahannya sebanyak RM7,000.

Pengerusi Gen-P, Mohd. Faizal Zainuddin berkata, wang sumbangan tersebut telah diserahkan kepada penjaga anak yatim piatu itu iaitu ibu saudaranya, Siti Khatijah Abdul Manaf, 63, di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini petang tadi.

“Keseluruhan sumbangan diterima sebanyak RM25,000. Kami serahkan sumbangan kepada Iman Danial sebanyak RM15,000. Selebihnya kami berikan kepada dua lagi pelajar yang turut mengalami kecederaan dalam kemalangan itu atas persetujuan penjaga Iman Danial,” katanya di sini hari ini.

Iman Danial yang merupakan pelajar jurusan Teknologi Elektrik Kolej Vokasional Kuala Klawang berisiko lumpuh separuh badan akibat mengalami kecederaan parah di bahagian tulang belakang dalam kemalangan tersebut.

Kemalangan kira-kira pukul 4 petang pada 23 Mei lalu itu menyebabkan seorang pelajar Vokasional Kuala Klawang, Muhammad Firdaus Syahrul Azam, 17, maut, manakala berpuluh lagi pelajar kolej itu dan pelajar Maktab Rendah Sains Mara Kuala Klawang cedera.

Mohd. Faizal berkata, dua lagi penerima sumbangan iaitu pelajar Kolej Vokasional Kuala Klawang, Elia Ariana Khafizan, 17, yang retak tengkuk dan Nurin Ainun Nabilah Fauji, 17, yang patah tulang pinggul serta tulang rusuk masing-masing menerima RM5,000. - UTUSAN ONLINE