Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Teo Kok Seong berkata bagi peniaga yang tidak mempunyai lesen, pihaknya akan membantu bagi proses permohonan lesen.


"Selepas saya buat tinjauan hari ini, saya lihat pasar ini berada di lokasi yang strategik yang berhampiran dengan premis kedai makan dan kediaman dan ia ibarat masing-masing memerlukan antara satu lain, penduduk yang datang ke pasar selepas membeli mereka boleh singgah di kedai makan dan ini merupakan aktiviti perniagaan yang baik.


"Selain itu, saya juga melihat terdapat anggota Rela yang diupah sendiri kalangan peniaga untuk mengawal lalu lintas, kerana itu saya akan jadikan tapak ini sebagai tapak kekal dan bagi peniaga yang tidak mempunyai lesen kami akan bantu," katanya kepada pemberita dalam sidang media isu perlesenan peniaga Kampung Baru Rahang di sini, hari ini.


Teo berkata demikian berikutan lapan daripada 40 peniaga di kawasan tersebut sebelum ini memaklumkan mereka menerima notis daripada penguat kuasa antaranya mengenai notis tidak boleh berniaga kerana bukan tapak untuk berniaga dan notis tidak mempunyai lesen.


Mengenai Pasar Besar Seremban, Teo berkata para peniaga dijangka boleh berpindah masuk ke premis yang baharu pada bulan Mac ini.


"Pasar dengan wajah baharu ini akan lebih selesa dengan kemudahan lif yang disediakan khususnya untuk memudahkan golongan orang kelainan upaya atau warga emas untuk turun dan naik pasar," katanya.- BERNAMA