Kelab berkenaan dinaungi oleh tokoh korporat terkemuka, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman manakala Presiden disandang oleh Datuk Dr. Radzuan Ibrahim dengan dibantu oleh Timbalan Presiden, Prof. Dr. Lim Swee Tin.

Yang turut hadir pada majlis hari ini ialah Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, Ismail Ahmed dan Sasterawan Negara, Datuk Zurinah Hassan.

Hamad Kama Piah dalam ucapannya pada majlis itu berkata, Pemuisi lahir daripada kesedaran untuk berkumpul bersama-sama para karyawan puisi dan seni, berinteraksi serta memartabatkan pemuisi dan dunia puisi negara.

Katanya, kelab itu akan membangunkan pemikiran kepemuisian dengan menganjurkan aktiviti keilmuan dan kemahiran agar tercipta karya-karya ahli yang akan menambah khazanah puisi dan sastera negara.

“Saya cukup yakin dengan iltizam dan sokongan tidak berbelah bagi daripada semua. Pemuisi mampu menjadi wadah ampuh dalam usaha kita mengetengahkan karya puisi dan sastera dalam masyarakat hari ini,” katanya.

Sementara itu, Radzuan memberitahu, matlamat Pemuisi adalah untuk menghimpun pemuisi dari seluruh negara serta mengadakan sinergi dan kerjasama sastera dan persuratan dengan badan sastera dalam dan luar negara.

“Kelab ini juga akan mengusahakan penerbitan hasil karya ahli; mengumpul, menyelidik dan melindungi bahan seni, budaya, sejarah dan sastera; mengurus perniagaan dan memasarkan produk karya ahli dan pemilihan hartanah, aset, saham dan pelaburan,” katanya.

Tambahnya, pihaknya berharap dapat menarik kira-kira 50 pemuisi dari seluruh negara menjadi anggota persatuan itu menjelang akhir tahun ini.

Pada majlis hari ini, Hamad Kama Piah turut melancarkan dua buah buku antologi puisi iaitu Bunga Cinta, karya 42 pemuisi dan Perempuan Tiga Wajah, karya Norazimah Abu Bakar, Morne Hashim dan Cik Seri Banang. - UTUSAN ONLINE