Iklan itu ternyata telah menarik perhatian warga maya sejak mula disiarkan secara rasmi pada Jumaat lalu dalam media sosial rasmi universiti tersebut.

Di Facebook USIM, misalnya, iklan itu telah mencapai tontonan lebih 61,000 kali di samping menerima 769 komen, 3,167 tanda suka dan dikongsi semula sebanyak 1,308 kali.

Tontonan yang tinggi juga dilihat di saluran Youtube USIMTV apabila mencapai 98,000 tontonan selain turut dikongsi dalam laman sosial popular antaranya Metafora Anafora yang meraih tontonan semasa 14,000 kali.

KREW produksi StraComm USIM bersama siswa StraComm Clique melakukan pergambaran iklan hari raya di N

KREW produksi StraComm USIM bersama siswa StraComm Clique melakukan pergambaran iklan hari raya di Nilai, Seremban baru-baru ini. - UTUSAN ONLINE

Walaupun tidak ditayangkan di televisyen, ternyata pengaruh dan capaian meluas media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram terbukti memberi pengaruh yang besar mempopularkan iklan raya USIM ini.

Iklan itu berkisar mengenai seorang mahasiswa, Bard yang perlu membahagikan masa antara persiapan raya bersama keluarga dan menghadapi peperiksaan akhir semester selepas hari raya.

Kejutan yang diberikan keluarganya selepas tamat peperiksaan ternyata membuatkan Bard terharu.

Dihasilkan oleh Pusat Komunikasi Strategik (StraComm) USIM bersama siswa StraComm Clique, penggambarannya melibatkan seramai 32 orang krew dan pelakon telah diadakan pada April lalu selama tiga hari bertempat di kampus dan sebuah rumah kampung di Labu dekat sini.

Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Musa Ahmad yang turut membuat penampilan khas dalam iklan itu menyifatkan iklan raya USIM kali ini lebih unik dan turut memuji jalan ceritanya yang relevan.

Tambahnya, sinergi kuat antara pelakon dan krew yang terdiri daripada pelajar, staf dan ahli keluarga, alumni serta pengurusan tertinggi berjaya diolah sebaiknya, sekali gus menjadi kekuatan iklan raya itu kali ini.

Pada 2014, iklan raya USIM yang berjudul ‘Dua Lebih Baik’ berjaya tersenarai antara lima iklan hari raya yang popular dalam media sosial hasil tinjauan yang dibuat oleh portal berita Astro Awani.

Antara judul iklan raya USIM yang telah dihasilkan sebelum ini ialah Tumpang Raya pada 2013; Syawal Bersama (2015); Miftah (2016) dan Malam Terakhir (2017). - UTUSAN ONLINE