Aktiviti yang bakal menambah keceriaan bagi seluruh kaum keluarga yang berkunjung ke hotel ini bermula pada malam menjelang Krismas, pada hari Krismas sehinggalah ke parti tahun baharu yang akan diadakan pada 31 Disember di Hibiscus Walk hotel ini.

Kemeriahan sambutan Krismas diserikan lagi dengan tawaran pelbagai juadah perayaan di Roselle Coffee House, Umi Japanese Restaurant dan Wave Dining. 


Bufet istimewa dari dapur Roselle Coffee House yang disediakan pasukan kulinari terbaik Lexis Hibiscus yang diketuai Pengarah Kulinarinya Chef Ryan Poon menyajikan pelbagai hidangan termasuk hidangan 'signature' Krismas iaitu ayam belanda panggang.

Menurut Ryan, ayam belanda panggang menjadi pilihan untuk ditonjolkan kerana keenakan dan kelembutan daging perapan.

"Bagi penggemar daging kambing, mereka boleh menikmati juadah ini yang telah diperap bersama rosemary dan bawang putih yang mampu menambat selera pengunjung.

"Turut disediakan juadah tempatan seperti sate, nasi ayam hainan, rendang daging, nasi daun keladi klasik, lasagna sayuran dan pelbagai lagi," katanya kepada pemberita di sini.

Sebagai pelengkap, Ryan berkata pencuci mulut seperti tart buah-buahan iaitu mangga, blueberry dan lemon, English Christmas Trifle, gingerbread Creme brulee dan pate au choux menanti pengunjung.

Harga bufet istimewa di Roselle Coffee House ini berharga RM168 bagi dewasa dan RM88 bagi kanak-kanak, bagi hidangan bufet di Umi Japanese Restaurant pula berharga RM168 untuk dewasa dan kanak-kanak RM88 manakala Wave Dining berharga RM148 untuk dewasa.

Kesemua bufet yang ditawarkan di ketiga-tiga restoran ini bermula dari 24 Disember hingga 25 Disember.

Selain itu, suasana di lobi hotel akan dihiasi dengan pembinaan replika Rumah Roti Halia (Gingerbread House) yang menempatkan manisan seperti gula-gula, coklat dan hamper Krismas bermula 3 Disember hingga 3 Januari 2019.


Majlis menyalakan lampu pokok Krismas di kawasan letak kereta dan program tanggungjawab sosial korporat dengan meraikan kanak-kanak daripada Persatuan Kebajikan Shemariah, Kuala Pilah akan diadakan pada 7 Disember pukul 7.30 malam. - BERNAMA