Antara lokasi yang menjadi tumpuan dan dianggap sebagai lubuk durian bagi penggemar raja buah itu termasuk Kampung Peradong, Titi, Kampung Petaseh, Kampung Purun dan Chennah di daerah ini.

JELEBU, 05 Julai 2019 - Sharifah Rohaizah Syed Azlan Shah, 35,
Sharifah Rohaizah Syed Azlan Shah, 35, menunjukkan isi buah durian yang dijual  di pekan Kuala Klawang. - UTUSAN ONLINE/AZRUL EDHAM MOHD. AMINUDDIN

Peniaga, Mohamad Farid Abd. Ghani,47, memberitahu, dia menyediakan kira-kira dua tan durian untuk dijual setiap hari bermula dari 9 pagi hingga 12 malam.

“Sudah 10 tahun saya berniaga dan sekarang sudah ada pelanggan tetap. Musim ini umpama 'durian runtuh' bagi peniaga,” katanya yang berniaga di Jalan Seremban-Jelebu di sini.

Beliau berkata, harga bagi durian Musang King AA/A bermula dari RM42 hingga RM45 sekilogram, gred B antara RM28 hingga RM30 dan gred C (RM18 hingga RM20).

“Harga bagi durian kampung pula antara RM6 hingga RM10 sekilogram. Saya juga ada D24, D88, D13, teka dan IOI,” katanya.

Orang ramai tidak melepaskan peluang menikmati buah durian dalam
Orang ramai tidak melepaskan peluang menikmati buah durian dalam majlis rumah terbuka Aidilfitri baru-baru ini. - UTUSAN ONLINE/AZRUL EDHAM MOHD. AMINUDDIN

Bagi Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Bakri Sawir, durian di negeri ini terutama Jelebu mula dikenali sejak ke­belakangan ini kerana rasanya yang enak.

Ujarnya, disebabkan populariti itu, banyak juga durian dibawa ke daerah itu untuk dijenamakan durian Jelebu sebagai taktik promosi.

“Jelebu semakin dikenali penggemar durian dan tahun lalu saya sendiri membuat promosi 'Jom Makan Durian Sampai Hongeh' bagi merancakkan lagi kemeriahannya.

“Tapi tahun ini durian Je­lebu agak kurang mungkin sebab cuaca dan kawasan seperti Mantin, Lenggeng dan Pantai di Seremban pula yang lebih ‘menjadi’,” katanya.

Bakri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Klawang di Jelebu berkata, kedudukan daerah itu yang tidak jauh dari Selangor dan Lembah Klang menjadi faktor populariti Je­lebu sebagai destinasi durian yang baharu.

“Sehubungan itu, kerajaan negeri akan membuat promosi makan durian dalam masa terdekat,” katanya.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kerancakkan musim durian turut melanda Rembau, Tampin, Jempol dan Seremban.

“SETIAP hari saya jual kira-kira 300 kilogram durian. Kadangkala dapat tempahan pelanggan sehingga 600 kilogram untuk jamuan rumah terbuka Aidilfitri," katanya. - UTUSAN ONLINE