Pengarahnya, Penolong Pesuruhjaya Bomba (PPjB) Hamdan Ali berkata, pihaknya turut mengadakan kempen kesedaran dalam kalangan orang awam untuk mematuhi aspek keselamatan daripada kebakaran di kediaman.

Tahun lalu, katanya, jabatan itu telah mengeluarkan sebanyak 23 notis menghapus bahaya kebakaran (MBK) ke atas sembilan premis kerana terdapat halangan di laluan pelepasan diri selain sistem keselamatan kebakaran tidak berfungsi.

“Tahun ini, JPBM negeri ini menetapkan jumlah sasaran pemeriksaan ke atas 65 premis pusat beli-belah dan pasar raya yang telah bermula sejak 15 Mei lalu hingga 14 Jun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Kempen Keselamatan Kebakaran Sempena Musim Perayaan Aidlifitri Peringkat JBPM Negeri Sembilan 2019 di pusat beli-belah AEON Mall di Seremban 2 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengurus Mall AEON Mall, Mohd. Johan Rahim.

Hamdan memberitahu, pelaksanaan pemeriksaan itu dibuat melalui Bahagian Keselamatan Kebakaran membabitkan tiga zon iaitu Seremban, Port Dickson dan Jempol.

Jelasnya, ia menggunakan pendekatan konsep 3E (Education, Engineering, Enforcement).

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya turut melaksanakan Ops Raya oleh Bahagian Operasi jabatan itu membabitkan kawasan hotspot seperti lebuh raya utama bersama Polis Diraja Malaysia dan agensi kecemasan yang lain.

“Ini merupakan satu langkah proaktif jabatan dalam usaha menangani sebarang tragedi yang berlaku semasa musim perayaan.

“Kita mahu meningkatkan respons time jabatan untuk memberikan perkhidmatan yang cepat, pantas dan berkesan,” katanya. - UTUSAN ONLINE