Ketika membuat gesaan itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak pelaburan, Perinddustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata kemudahan Internet membolehkan usahawan meneroka pasaran di seluruh dunia dalam masa singkat.

Selain itu, usahawan juga memerlukan rangkaian kerja yang erat dengan usahawan lain bagi bersama-sama membesarkan perniagaan, katanya pada majlis perasmian Bizfair peringkat Negeri Sembilan 2018 anjuran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah SSM Negeri Sembilan Rashidan Abd Rashid.


Mohamad Rafie berkata bidang perniagaan adalah satu dunia yang mencabar dan menuntut mereka yang berani serta sanggup menanggung risiko selain sentiasa bergerak dengan perkembangan semasa. 


"Bermula sebagai usahawan kecil bukan satu masalah kerana tidak mustahil perniagaan itu boleh berkembang besar pada satu masa nanti," katanya menambah kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan dan insentif untuk mereka yang berminat menceburi bidang perniagaan mahupun membesarkan perniagaan.

Beliau memberi contoh geran yang diberikan oleh SSM menerusi Bizgrant yang menawarkan bantuan bernilai RM3,000 untuk usahawan memulakan perniagaan.

Pada majlis itu, seramai 200 usahawan di negeri ini menerima geran tersebut dengan nilai keseluruhan RM600,000.

Bizfair SSM disertai beberapa agensi yang membuka kaunter masing-masing seperti Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia, Telekom Malaysia, SME Corporation Malaysia, Majlis Amanah Rakyat, TEKUN Nasional dan Credit Guarantee Corporation. - BERNAMA