Menerusi program itu, sebanyak 1,000 penerima anak yatim dan pelajar miskin serta 600 penerima daripada keluarga miskin mendapat manfaat apabila masing-masing menerima bantuan sebanyak RM120 dan RM70.


 ADLY ZAHARI (duduk lima dari kanan) bersama Mokhtar Ramli (empat dari kanan) bergambar bersama sebahagian daripada penerima bantuan program Inspirasi Ramadan peringkat negeri anjuran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) di Masjid Al-Muttaqin di Kampung Tedong, Merlimau di Jasin, Melaka petang tadi. - UTUSAN ONLINE/AZLI AHAD

Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yapeim, Mokhtar Ramli berkata, dalam program Inspirasi Ramadan tahun ini juga, yayasan itu memperuntukkan sebanyak RM2.5 juta untuk diagihkan kepada 14,000 penerima terdiri daripada anak-anak yatim, golongan asnaf dan golongan kurang berkemampuan.

“Bantuan kepada penerima di Melaka melibatkan sebanyak 1,000 keluarga anak yatim daripada 33 buah sekolah di 11 lokasi dan 150 keluarga miskin dari tiga lokasi di seluruh negeri ini.

“Kita harap bantuan itu akan dapat meringankan beban golongan sasar ini dan ini merupakan program tahunan yang dilaksanakan Yapeim sejak sekian lama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Inspirasi Ramadan yang dirasmikan oleh Ketua Menteri, Adly Zahari di Masjid Al-Muttaqin di Kampung Tedong, Merlimau di sini petang ini.

Yang turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Omar Jaafar.

Sementara itu, Adly ketika ditemui selepas perasmian program itu berkata, pihaknya menyambut baik usaha yang dilakukan oleh Yapeim kerana ia sedikit sebanyak membantu meringankan beban yang ditanggung oleh masyarakat.

“Kerajaan negeri mengalu-alukan peranan Yapeim kerana kira tahu yayasan ini dibangunkan bagi membantu ekonomi masyarakat Islam.


ADLY ZAHARI (kanan) menerima replika cek berjumlah RM120,000 sumbangan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) daripada Mokhtar Ramli (tiga dari kanan) sambil diperhatikan Omar Jaafar (dua dari kanan) pada program Inspirasi Ramadan peringkat negeri anjuran Yapeim di Masjid Al-Muttaqin di Kampung Tedong, Merlimau di Jasin, Melaka petang tadi. - UTUSAN ONLINE/AZLI AHAD

“Selain itu, Yapeim juga memainkan peranan dengan meringankan beban golongan sasar melalui sumbangan sedekah daripada pencarum dan penyumbang di seluruh negeri serta penglibatan guru di peringkat Jabatan Pendidikan negeri,” kata beliau. - UTUSAN ONLINE