Seri Paduka tiba di Pasar Ramadan Peringgit pada pukul 4.45 petang diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Seri Paduka bersama Raja Pemaisuri Agong terlebih dahulu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam pukul 2 petang ini untuk lawatan kerja dua hari ke negeri ini.

Baginda berdua kemudian menerima menghadap Yang Dipertua Negeri, Tun Dr. Mohd. Khalil Yaakob dan Toh Puan Zurina Kassim sebelum menyertai program turun padang bertemu rakyat di Pasar Ramadan petang ini.

Yang turut hadir, Ketua Menteri, Adly Zahari dan isteri, Dalilah Awaluddin; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Hasim Hasan dan barisan Exco kerajaan negeri.

Sepanjang program, baginda berdua berkenan meluangkan masa kira-kira 45 minit untuk mengunjungi hampir kesemua gerai jualan di bazar itu.

 

Antara juadah yang dibeli Seri Paduka bersama Raja Pemaisuri Agong adalah bubur lambuk, ayam percik, martabak, roti bom, air katira, puding raja, tauhu bergedel, sata dan pulut panggang.

Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah turut beramah mesra dengan penjual di bazar berkenaan serta bersalaman dengan sebahagian daripada pengunjung. - UTUSAN ONLINE