Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, kejohanan sukan yang julung kali diadakan itu bakal menghimpunkan peserta dari 57 negara Islam meliputi benua Asia, Timur Tengah, Afrika, sebahagian Timur Eropah dan Amerika Selatan dengan penyertaan kira-kira 3,500 atlet dan pegawai.

Menurutnya, dengan kemudahan dan infrastruktur sukan yang lengkap terdapat di negeri ini, pihaknya yakin mampu menganjurkan temasya sukan berprestij itu dengan cemerlang.

“Ia satu penghargaan buat Me- laka yang dipilih untuk menganjurkan kejohanan bertaraf dunia ini dan kita percaya ia akan berjalan lancar kerana fasiliti untuk acara-acara yang dipertandingkan telah tersedia dengan venue serta kemudahan yang digunakan pada Sukan Malaysia 2010.

“Kejohanan ini juga bakal mendapat kerjasama erat kerajaan ne- geri serta kementerian-kementerian berkaitan selain Polis Diraja Malaysia, Jabatan Belia dan Sukan negeri, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Sukan Negeri (MSN) Melaka dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis pelancaran WYISG16 di Gold Coast Resort, Bukit Katil di sini hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Agung WYISG16, Faisal Al Nassar; Timbalan Pengerusi yang juga Penasihat WYISG16, Tan Sri Elyas Omar dan Setiausaha Kerajaan Ne- geri, Datuk Naim Abu Bakar.

Sebanyak 10 acara yang menawarkan pingat bakal dipertandingkan sempena kejohanan itu antaranya olahraga, akuatik, memanah, badminton, ekuestrian, bola sepak, hoki, boling, taekwando dan bola tampar selain memperkenalkan sukan takraw (tanpa pingat).

WYISG16 diilhamkan oleh Elyas dan bekas Pengarah Urusan Pusat Perniagaan Antarabangsa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Allahyarham Datuk Dr. Raja Mohamad Abdullah dalam menyediakan platform untuk mengekal dan menggalakkan persaudaraan muslim bersatu (ummah) dalam kalangan belia negara-negara Islam.

Idris berkata, kejohanan tersebut dilihat menjadi landasan dalam menyatukan saudara Islam melalui sukan belia disamping mengukuh dan meningkatkan intra-perdagangan yang holistik.

“Kejohanan ini dianjurkan secara eksklusif untuk golongan muda berusia antara 16 hingga 22 tahun. Selain menghimpunkan negara-negara Islam dari seluruh dunia, kejohanan ini juga dilihat berupaya menguatkan perpaduan serta menghubungkan semua belia dalam kalangan dunia Islam,” katanya.