Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, siasatan oleh pasukan khas itu harus dilakukan secara terperinci bagi mengenal pasti jenis masalah termasuk unsur ketirisan, isu tatatertib, permasalahan sistem dan prosedur.

“Buat masa ini kami telah berjumpa dengan Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid dan berbincang mengenai penubuhan pasukan taskforce susulan pendedahan LKAN sebelum ini.

“Kita hanya akan mengambil isu membabitkan rasuah. Sebab laporan (LKAN) ini besar dan banyak. Selain pihak jabatan yang turut mengendalikan isu, SPRM akan memfokuskan kes melibatkan unsur jenayah rasuah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Melaka Tolak Rasuah Peringkat Negeri Melaka sempena Tahun Melawat Melaka 2019 yang dirasmikan oleh Ketua Menteri, Adly Zahari di Menara Taming Sari, di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Hasim Hasan; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan Pengarah SPRM negeri, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail. - ONLINE UTUSAN