Timbalan Naib Yang Dipertua PVATM Cawangan Merlimau, Pegawai Waran 2 (B) Pasbul Samat berkata, tindakan tegas perlu diambil terhadap individu berkenaan yang telah mengguris hati seluruh warga ATM termasuk pesara selain rakyat berbilang kaum di negara ini.

Menurutnya, walaupun individu itu telah memohon maaf dan menarik semula kenyataan yang dibuatnya namun ia tidak memadai kerana kenyataan itu dilihat berniat jahat dan cuba menjatuhkan maruah ATM.

"Kami membantah keras kenyataan ahli perniagaan itu yang seolah-oleh turut menghina Yang Di-Pertuan Agong sebagai Pemerintah Tertinggi ATM.

"Justeru, selain memohon maaf secara terbuka kapada Yang Di-Pertuan Agong dan seluruh warga ATM, pihak berwajib juga perlu menyiasat serta mengambil tindakan terhadap individu berkenaan sebagai pengajaran agar perkara sama tidak berulang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat laporan polis berhubung penghinaan ke atas ATM di Balai Polis Merlimau, di sini sebentar tadi.

Hadir sama Naib Presiden 1 Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pegawai Waran 1(B), Abu Bakar Jamal.

Sementara itu, Abu Bakar berkata, kenyataan dikeluarkan Yew Yin itu cukup mengguris perasaan warga ATM termasuk veteran di seluruh negara kerana ia seperti memperkecilkan peranan pasukan keselamatan negara.

“Apa yang diperkatakan itu tidak benar sama sekali kerana pasukan keselamatan negara tidak kira di laut, di udara serta di darat, masing-masing mempunyai tanggungjawab besar untuk menjaga kedaulatan dan keselamatan negara.

“Saya berharap tiada lagi pihak lain yang cuba menghina sumbangan anggota tentera serta memandang kami ini seperti tidak berjasa kepada negara,” katanya yang berkhidmat lebih 21 tahun sebagai anggota tentera. - ONLINE UTUSAN

Habis//