Ketua Perkhidmatan Pelang­gan TNB Melaka, Ahmad Rezahan Mohammad berkata, pihaknya menerima apa juga cadangan daripada orang ramai termasuk sesi dialog walaupun Hari Bersama Pelanggan telah diadakan sejak semalam sehingga 31 Mei ini.

Menurutnya, sesi dialog itu bagaimanapun mungkin akan diadakan serentak dengan Hari Bersama Pelanggan yang dirancang untuk diadakan lagi selepas Hari Raya Aidilfitri. 
 “Melihat kepada sambutan pengguna, kita merancang mengadakan Hari Bersama Pe­langgan ini secara berterusan namun kaedah dan lokasinya mungkin berbeza.

“Kita rancang untuk adalah sesi bersama pengguna dan mungkin sesi dialog turut akan diadakan pada masa tersebut bergantung kepada situasi,” katanya ketika ditemui di TNB Banda Kaba di sini hari ini.

Jelas Ahmad Rezahan, pihaknya juga menerima beberapa permintaan daripada pemimpin kawasan untuk me­ng­­adakan Hari Bersama Pe­lang­gan TNB di kawasan mereka.

“TNB mengamalkan dasar terbuka dan sentiasa menerima apa-apa maklum balas daripada semua pengguna malah bersedia untuk mengadakannya di tempat lain mengikut permintaan pelanggan,” ujarnya.

Sementara itu beliau berkata, pihaknya menerima sebanyak 280 aduan berhubung kenaikan bil elektrik daripada orang ramai pada hari pertama program itu semalam.

“Daripada jumlah itu, 80 adu­an berjaya diselesaikan pada masa tersebut dan hampir 130 aduan memerlukan tindakan lanjut termasuk pemeriksaan jangka di rumah masing-masing.

“Hari ini sehingga pukul 2 petang, kami menerima kira-kira 400 aduan daripada pengguna berhubung masalah sama dan hampir 150 daripadanya perlu pemeriksaan jangka,” tambahnya.

Secara keseluruhan beliau berkata, kebanyakan pengguna tidak memahami kiraan meter pintar itu dan penerangan yang diberikan oleh kakitangan TNB sedikit sebanyak membantu meningkatkan kefahaman mereka.