Pengurus Wilayah SWM Melaka dan Negeri Sembilan, Dr. Al’Ashari Othman berkata, orang ramai tidak perlu gusar kerana kutipan sampah akan dilaksanakan mengikut jadual yang telah ditetapkan.

“Pihak SWM Environment juga akan memastikan jumlah pekerja dan jentera yang secukupnya dijadualkan bermula 15 dan 16 Jun 2018 bagi melaksanakan kerja-kerja pembersihan seperti biasa.

“Pekerja operasi juga ditugaskan untuk membersihkan sampah di sekitar pusat beli-belah dan pasar raya agar sampah yang dibuang dapat dikawal serta tidak mencacatkan pemandangan sekitar terutamanya di lokasi yang menjadi tumpuan awam seperti pusat-pusat pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pad Majlis Berbuka Puasa bersama media di Hotel Ramada di sini, malam tadi.

Sehubungan itu, beliau memohon kerjasama orang ramai bagi melancarkan perkhidmatan yang diberikan syarikat konsesi SWM Environment sepanjang bulan Ramadan dan Syawal yang bakal tiba.

“Orang ramai perlu mempraktikkan amalan pengasingan sisa pepejal di punca bagi mengurangkan pembaziran dan janaan sampah di musim perayan ini melalui penerapan konsep 3R iaitu ‘Reduce, Reuse dan Recycle’.

“Sisa harian hendaklah dibuang ke dalam beg plastik sampah, diikat kemas dan dilupuskan di dalam tong sampah beroda SWM Environment yang dibekalkan. Bagi sisa kitar semula dan kebun, ia perlu dibungkus di dalam beg plastik sampah diikat kemas serta diletakkan di tepi tong sampah beroda pada hari kutipan,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE