Pencemaran itu dikatakan berpunca daripada tindakan pemilik kolam ternakan ikan keli di Hutan Percha di sini yang melepaskan sisa buangan secara tidak tersusun ke Sungai Batang Melaka.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Mohd. Sofi Abdul Wahab berkata, berikutan kejadian itu, pihaknya telah mengarahkan supaya pemilik kolam berkenaan agar menghentikan operasi pembuangan sisa ternakan tersebut ke Sungai Batang Melaka serta merta.

“Sebanyak 18,076 akaun pengguna terjejas akibat pencemaran sungai ini yang mengakibatkan loji rawatan air menerima bekalan air mentah daripada sungai berkenaan.

KEADAAN pencemaran ammonia di Sungai Batang Melaka yang dikatakan berpunca daripada pembuangan sisa

KEADAAN pencemaran ammonia di Sungai Batang Melaka yang dikatakan berpunca daripada pembuangan sisa ternakan ikan keli kolam dan turut menyebabkan loji rawatan air di Gadek terpaksa dipulihkan sejak seminggu lalu. - UTUSAN ONLINE/Ihsan media sosial

“Kerajaan negeri memandang serius isu ini memandangkan air sungai yang tercemar itu merupakan sumber air mentah bagi tujuan minum kepada sebahagian rakyat di negeri ini dan aspek keselamatan seperti ini tidak boleh dikompromi,” katanya dalam satu kenyataan di sini petang ini.

Menurutnya, Badan Kawal Selia Air (BKSA) telah menerima aduan pencemaran di loji berkenaan pada Ahad lalu dan telah menjalankan siasatan sebelum mengarahkan pemilik kolam berkenaan menghentikan operasi pembuangan sisa ternakan kes sungai itu.

Antara kawasan yang terjejas adalah Simpang Ampat; Taman Kebaya-Jalan Kolam Air; Industri Kelemak dan Saujana Height; Pulau Sebang; Solok Duku dan Taman Tanjung Bidara dan Paya Rumput-Kuala Linggi.

Kata beliau, operasi Loji Rawatan Air Gadek telah pulih sepenuhnya semalam dan isu gangguan bekalan air di beberapa kawasan yang terjejas akan pulih secara berperingkat-peringkat dan dijangka pulih sepenuhnya hari ini. - UTUSAN ONLINE