Antara kelainan yang ditawarkan dan berbeza berbanding tahun-tahun sebelum ini adalah menu hidangan utamanya sentiasa berubah setiap hari mengikut negeri.

Pengurus resort itu, Dennis Samford berkata, idea untuk mempelbagaikan menu makanan utama itu adalah bagi memberi lebih banyak pilihan kepada pengunjung.

“Selain menu utama yang berbeza, empat warung yang disediakan iaitu warung Pantai Timur, warung selatan, warung utara dan warung air menyediakan hidangan berbeza setiap hari bagi memberi kelainan.

“Bersesuaian dengan usia resort ini yang beroperasi sejak tahun 1971, Shah’s Beach Resort menjanjikan kepuasan kepada pelanggan untuk menikmati hidangan masakan kampung yang disediakan oleh ketua cef kami, Alif Zaidi,” katanya ketika ditemui pada majlis uji rasa bufet Iftar Ramadan di resort itu di Tanjung Kling di sini malam ini.

Keistimewaan kepada pengunjung yang berbuka puasa di Shah’s Beach Resort Melaka adalah mereka berbuka di kawasan terbuka yang mengadap laut dan mendamaikan.

Antara menu yang disediakan adalah kambing golek, nasi jagung, asam pedas, beraneka jenis mi dan pelbagai jenis kuih-muih tradisional.

Selain itu, buat pertama kali juga kata Dennis pihaknya menawarkan tempat makan bersila kepada pengunjung pada Ramadan kali ini bagi memudahkan mereka yang selesa menikmati juadah sedemikian selain merasai suasana kampung.

Menurut beliau, harga bufet yang dikenakan juga berpatutan iaitu RM50 untuk dewasa, RM25 untuk kanak-kanak manakala warga emas berusia 55 tahun ke atas hanya dikenakan bayaran RM35.

Orang ramai yang ingin membuat tempahan berbuka puasa di Shah’s Beach Resort boleh menghubungi talian 06-3153121. - UTUSAN ONLINE