Ketua Menteri, Adly Zahari bekata, pihaknya memandang serius aduan orang ramai terutamanya umat Islam terhadap kemudahan surau yang terdapat di premis-premis komersial ketika ini.

Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri untuk meneliti syarat-syarat merancang yang telah ditetapkan di setiap bangunan terlibat.

“Kebanyakan surau di premis komersial diletakkan di lokasi yang terpencil malah saiz pembinaannya tidak sesuai dengan keperluan pengunjung.

“Untuk itu saya meminta pihak PBT dan JKT memebri maklum balas berkaitan syarat-syarat kebenaran merancang yang telah ditetapkan agar kemudahan surau yang disediakan bersesuaian dan memenuhi keperluan pengunjung,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar mesyuarat Exco kerajaan negeri di pejabatnya di Seri Negeri di sini sebentar tadi.

Menurut Adly, setakat ini pihaknya tidak mempunyai jumlah surau yang terlibat namun arahan telah dibuat supaya PBT dan JKR melihat semula keperluan perancangan pembangunan dan pihaknya akan mendapatkan maklumat dari semasa ke semasa bagi memastikan semua bangunan komersial ini menyediakan kemudahan surau yang sesuai.

“Ada dua perkara yang akan dilihat dalam penambahbaikan kemudahan surau ini iaitu pertama, pembangunan di bangunan sedia ada dan yang kedua, perancangan kemudahan untuk bangunan dalam pembinaan. - UTUSAN ONLINE