Kejadian berlaku kira-kira pukul 8.20 malam tadi ketika pemilik kenderaan tersebut, Syahrul Nizam Shamsudin, 43, selesai berbuka puasa bersama keluarga dan menunggu untuk menunaikan solat isyak dan tarawih.

“Ketika kejadian saya berada di luar dan tiba-tiba dihubungi oleh adik ipar memaklumkan berlaku kebakaran di stor rumah sewa kami.

“Saya bergegas datang dan mendapati kereta Naza Ria yang saya letakkan di sebelah stor itu turut musnah,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam.

Menurut Syahrul Nizam, stor itu menempatkan barangan lama milik saudaranya, Abdul Rahman Osman, 37, yang tinggal bersebelahan rumahnya.

Menurut Abdul Rahman pula, ketika kejadian hanya terdapat seorang ahli keluarga mereka iaitu adik ipar Syahrul Nizam, Mohd. Fadzil Mohd. Latif yang segera memberitahu jiran untuk menghubungi bomba selepas ternampak api marak.

“Mujurlah tindakan pantas jiran itu membantu menghubungi bomba membolehkan api berjaya dipadamkan daripada merebak ke rumah sewa kami sekeluarga,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Katil, Penolong Penguasa Kanan Alias Ahmad berkata, dua buah jentera dengan kekuatan 14 anggota dan dua pegawai bergegas ke lokasi sebaik sahaja menerima panggilan pada pukul 8.39 malam.

Rugi RM16,000 kereta Naza Ria terbakar
ALIAS AHMAD

“Anggota yang terlibat adalah dari BBP Bukit Katil dibantu BBP Padang Temu dan sebaik sahaja tiba kami dapati api sudah marak di keseluruhan stor dan turut memusnahkan kereta Naza Ria,” katanya.

Menurutnya, pasukan penyelamat mengambil masa 10 minit untuk memastikan api tidak merebak ke rumah berdekatan dan ketika ini pihaknya masih menyiasat punca kebakaran dan jumlah kerugian yang dialami dalam kejadian itu. - UTUSAN ONLINE