Ahli Parlimen kawasan berkenaan, Khoo Poay Tiong berkata, sumbangan itu merupakan rutin tahunan pihaknya yang sentiasa mengambil berat kebajikan dan hal ehwal masyarakat Melayu dan umat Islam di kawasan itu.

Beliau berkata, sumbangan tersebut diberikan dalam bentuk wang tunai iaitu setiap masjid masing-masing menerima RM5,000 untuk menjalankan kerja-kerja kebajikan dan aktiviti sepanjang bulan Ramadan dan Syawal.

“Setiap tahun sumbangan ini diagihkan bagi memastikan banyak aktiviti keagamaan seperti tadarus al-Quran, ceramah agama dan majlis berbuka puasa dapat dilaksanakan.

“Diharapkan sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban pengurusan masjid dan inisiatif kita yang mengambil berat dan mendahulukan keperluan rohani umat Islam di negeri ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyampaikan sumbangan pada Majlis Berbuka Puasa di Masjid Fathur Rahman, Kampung Pengkalan Rama dekat sini.

Menurut beliau, dalam waktu terdekat pihaknya akan menggiatkan aktiviti turun padang dan mengagihkan sumbangan sempena Hari Raya Aidilfitri kepada hampir 200 penerima kurang berkemampuan dalam Parlimen Kota Melaka.

“Saya akan serahkan sumbangan ini kepada mereka demi memastilan keluarga kurang bernasib baik ini dapat merayakan Hari Raya Aidilfitri sama seperti insan lain,” katanya. - UTUSAN ONLINE