Masalah didakwa berlaku selepas pengurusan pasar diambil alih oleh syarikat pengendali daripada Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ).

Menurut wakil Persatuan Peniaga-Peniaga Negeri Melaka (PPNM), Muhaimin Lau Abdullah, masalah penyelenggaraan di pasar itu menyebabkan peniaga dan pengguna berdepan masalah persekitaran kotor dan berbau busuk.

Ekoran masalah itu, pendapatan peniaga juga dikatakan semakin terjejas disebabkan pengunjung berasa tidak selesa untuk berada lama di pasar itu.

“Banyak aduan telah dibuat kepada pihak berkuasa namun tidak diendahkan. Kami dilayan seperti bola, ditolak ke kiri ke kanan dan akhirnya tiada siapa yang mahu bertanggungjawab.

"Setakat ini peniaga masih boleh bertoleransi dengan kea­daan ini demi untuk mencari rezeki. Kami harap kerajaan campur tangan dalam menyelesaikan isu ini," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Sehubungan itu Muhaimin berkata, peniaga mendesak pengurusan pasar itu di­serahkan semula kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memastikan penyelenggaraan dilakukan mengikut jadual.

Hasil tinjauan mendapati beberapa batang jalan yang di kawasan pasar itu mengalami kerosakan teruk selain longkang besar yang tidak berpenutup dan dipenuhi sampah sarap.

Tahap kebersihan tandas juga dalam keadaan yang menyedihkan dan sering mengalami masalah terputus bekalan air.

Selain itu, logi rawatan air di pasar berkenaan juga didakwa tidak diselenggara dengan baik sehingga menyebabkan air tercemar dilepaskan ke dalam longkang tanpa dirawat.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani negeri, Norhizam Hassan Baktee yang membuat tinjauan di pasar berkenaan mendakwa masalah itu berlaku akibat ketirisan dalam pengurusan pasar berkenaan kerana mungkin telah ‘dialibabakan’.

Katanya, sebelum itu kerajaan negeri telah menyalurkan dana untuk tujuan naik taraf tapi tiada sebarang penambahbaikan dilakukan.

“Kami akan adakan perbincangan dengan pihak pengurusan pasar untuk mencari jalan penyelesaian.

“Kami juga akan meneliti operasi syarikat pengurusan pasar ini mengenai wang yang telah dibelanjakan. Jika didapati ada ketirisan, saya akan serahkan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan,” kata­nya.