Pengerusi Lembaga Pengarah Utem, Tan Sri Dr. Ahmad Tajuddin Ali berkata, sejumlah 40 buah gerai yang terlibat bagi menjayakan program tersebut dengan menjual buku-buku ilmiah, bahan multimedia termasuk bahan bacaan santai.

“Program ini memberi peluang kepada warga akademik untuk memilih bahan-bahan bacaan yang berkualiti dan sesuai dengan silibus pengajian Utem di sam-ping membuka peluang kepada perpustakaan di negeri ini mencari bahan bacaan yang sesuai untuk pengguna mereka,” kata-nya ketika berucap dalam majlis perasmian program tersebut dan Pelancaran Nama Bangunan dan Tasik Utem di Durian Tunggal di sini.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Othman Muhamad dan Naib Canselor Utem, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib.

Sementara itu, Ahmad Tajuddin berkata, merujuk kepada Kajian Kadar Literasi Membaca oleh Perpustakaan Negara mendapati kadar literasi penduduk di Malaysia masih berada pada tahap 55 peratus dengan purata setiap rakyat hanya membaca 15 hingga 20 buku setahun.

“Kadar literasi ini masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan negara-negara maju. Korea Selatan contohnya mempunyai kadar literasi 99.9 peratus dengan setiap penduduknya membaca secara purata 40 buku setahun.

“Dengan itu, usaha menggalakkan budaya membaca buku perlu terus diterapkan dalam masyarakat supaya kadar literasi penduduk dapat ditingkatkan ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Dalam majlis berasingan, me­nurut Ahmad Tajuddin, penamaan bangunan dan tasik yang dirasmikan bertujuan memperkasakan fungsi bangunan dengan nama tersendiri serta menyerlahkan identiti menerusi penggunaan nama spesifik.

“Dengan pelancaran ini, akan wujud keseragaman penggunaan nama yang akan dapat meningkatkan reputasi dan kredibiliti universiti secara amnya.

“Setiap bangunan yang mempunyai nama tersendiri akan mewujudkan nilai tambah kepada orang ramai mengenai imej bangunan tersebut seterusnya memperkasakan lagi fungsi yang sedia ada,” katanya.

Mohd. Khalil yang merasmikan majlis tersebut menjadikan Dewan Besar Utem kini dikenali sebagai Dewan Canselor, Perpustakaan Utem kepada Laman Hikmah, manakala tiga buah tasik di kampus induk institusi tersebut dinamakan sebagai Tasik Cemerlang, Tasik Gemilang dan Tasik Terbilang.