Sebuah bilik yang akan mula dibuka selama 12 jam setiap hari mulai esok di Galeri Inap Desa Warisan di Duyong di sini menyediakan pelbagai jenis barangan untuk diambil secara percuma oleh mereka yang memerlukannya.

Pengerusi Pesawad, Khalid Hussin berkata, buat permulaan pihaknya menyediakan barangan dapur bernilai keseluruhan RM1,205 antaranya seperti beras kampit 5 kilogram, tepung, gula, sardin, susu kicap dan sebagainya.

“Semua barangan ini dibeli secara pukal oleh Pesawad hasil sumbangan peribadi ahli persatuan dan kutipan tabung untuk membantu mereka yang tidak mampu.

“Mulai esok, orang ramai yang memerlukan barangan ini boleh datang ke pejabat bantuan khidmat masyarakat dan boleh mengambil apa yang mereka mahu secara percuma,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis ramah mesra bersama petugas media di Galeri Inap Desa Warisan di Duyong di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Baru Duyong, Mahmud Md. Dom dan Timbalan Setiausaha Pesawad, Abdul Rashid Hussin.

Pesawad merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang ditubuhkan bagi menjalankan kajian dan penyelidikan mengenai sejarah dan warisan negeri Melaka dan kini memiliki sejumlah 250 orang ahli di seluruh negara.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, tujuan kaunter bantuan itu diwujudkan adalah memberi sumbangan percuma barangan dapur kepada golongan asnaf atau mereka yang tidak mampu untuk mendapatkannya berikutan perningkatan kos sara hidup ketika ini.

“Kita tidak hadkan barangan yang ingin diambil tetapi apa yang kita pentingkan adalah kejujuran, jika boleh dan sekiranya mendapat sambutan, kaunter ini akan dibuka 24 jam tanpa pengawasan,” kata beliau.

Bagaimanapun katanya, Pesawad sebagai langkah permulaan akan memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengenal pasti individu yang mendapatkan barangan dapur itu hanya mengambil barangan untuk kegunaan sendiri.

Beliau turut mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin menyumbang apa sahaja barangan dapur untuk diberikan kepada orang ramai supaya datang ke galeri itu.

Mereka yang memerlukan dan ingin mendapatkan barangan dapur percuma itu boleh datang ke Galeri Inap Desa Warisan Duyong di alamat Kilometer 5.6, Kampung Duyong di sini atau menghubungi talian 06-2688854. - UTUSAN ONLINE