Wanita berusia 73 tahun itu menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 12.57 tengah malam tadi selepas dimasukkan ke hospital tersebut pada 16 Jun lalu.

Anak ketiganya, Junaidah Jalil, 43, memberitahu, ibunya yang menghidap sakit jantung sejak enam tahun lalu mengadu sakit dada pada perayaan Aidilftri 2018 hari kedua sebelum dikejarkan ke hospital tersebut.

“Emak saya ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Koronari selama lima hari sebelum dipindahkan ke wad biasa selepas keadaannya kembali stabil.

“Bagaimanapun, dia tiba-tiba diserang sakit jantung semalam sebelum meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Limbongan Permai di sebentar tadi.

Menurut Junaidah, ibunya sudah lama tidak terlibat secara langsung dalam perniagaan kuih keria ekoran masalah kesihatan, namun masih memantaunya.

Perniagaan Kuih Keria Antarabangsa Hajah Rahmah yang diperkenalkan sejak tahun 1979 itu kini diuruskan oleh Junaidah.

Keluarga itu turut memiliki satu lagi perniagaan iaitu Kuih Keria Haji Jalil yang diuruskan oleh adik-beradik Junaidah yang lain. Jalil merupakan suami Rahmah.

Perniagaan Kuih Keria Antarabangsa Hajah Rahmah begitu terkenal dan menjadi antara lokasi wajib disinggah pengunjung yang datang ke Melaka untuk menikmati kuih tradisional. - UTUSAN ONLINE