Dalam kejadian kira-kira pukul 11.50 malam itu, mangsa yang merupakan pelajar tahun akhir Diploma Kejuruteraan Marin, Institut Latihan Vokasional Ranaco, Terengganu itu sedang menjalani latihan praktikal sebagai pekerja pelatih sebuah syarikat operator pelabuhan.

Kehilangan mangsa, Muhammad Afizudin Aidzuhan, 20, disedari anak kapal lain kira-kira pukul 1 petang semalam sebelum kehilangannya dilaporkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Malaysia Melaka/Negeri Sembilan, Komander Maritim Azman Samsudin berkata, mangsa dikhuatiri lemas selepas dipercayai tergelincir dari kapal tempat dia menjalani latihan praktikal.

Menurutnya, pihak Maritim Malaysia telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada pukul 5 petang semalam dan meneruskan operasi sehingga hari ini namun masih gagal menemui mangsa.

“Mangsa dilaporkan kali terakhir dilihat pada sekitar pukul 11.50 malam Ahad ketika bertugas membuat pemantauan di kapal Bunga Mas 6 bersama seorang lagi anak kapal.

“Difahamkan, remaja itu memaklumkan pada rakannya untuk pulang sebentar ke kapal Tag Nur Tiga bagi mengambil barang sebelum dilaporkan tidak kelihatan sehingga tengah hari semalam,” katanya ketika ditemui di jeti nelayan Kampung Tanjung Dahan, Kuala Linggi di sini, hari ini.


MUHAMMAD AFIZUDIN AIDZUDIN dikhuatiri hilang selepas terjatuh ke dalam laut semasa sedang menjalani latihan praktikal di sebuah kapal semasa berada di perairan Kuala Linggi, Alor Gajah, Melaka, lewat malam kelmarin.  - UTUSAN ONLINE/Ihsan Maritim Malaysia

Jelas Azman, selain pihak berkuasa, usaha pencarian itu turut dilaksanakan syarikat perkapalan pelajar berkenaan menjalani latihan praktikal, Tag Marine Sdn. Bhd. telah memulakan pencarian sejak pagi semalam namun turut gagal menemui mangsa.

“Selepas tidak menemui sebarang petunjuk sehingga pukul 4 petang semalam, wakil syarikat itu kemudian membuat laporan polis mengenai kehilangan dan Maritim Malaysia segera mengaktifkan operasi sejam kemudian. - UTUSAN ONLINE