Hakim Datuk Ahmad Nasfy Yasin menjatuhkan hukuman itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Luqman Hadi Mustapa, 31.

Mengikut pertuduhan satu hingga ketiga, Luqman Hadi didakwa telah membunuh Hassan A. Wahab, 70; isteri Hassan, Mariah Baharin, 62, dan anak lelaki pasangan itu, Mohammad Taufeq, 22.

Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.

Tertuduh juga didakwa bagi pertuduhan keempat dan kelima atas kesalahan telah melakukan perbuatan yang boleh menyebabkan kecederaan dua lagi anak pasangan tersebut, Noor Haslinda Diyana, 27, dan Nur Aqedah Aeina, 24, yang mana sekiranya menyebabkan kematian tertuduh akan bersalah bagi kesalahan membunuh.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan mendatangkan kecederaan.

Kesemua perbuatan itu dilakukan tertuduh antara pukul 5.50 pagi hingga pukul 6.15 pagi di dalam sebuah rumah di Bertam Malim pada 25 Ogos 2016.

Ahmad Nasfy dalam penghakimannya berkata, di akhir pembelaan tertuduh telah memilih untuk berdiam diri dan mahkamah telah menggunakan laporan psikiatrik merangkumi kombinasi penilaian klinikal dan neuropsikologi untuk membuktikan tertuduh berada dalam keadaan tidak cukup akal melakukan perbuatan bunuh.

Beliau berkata, bagaimanapun kesemua perbuatan tertuduh tidak konsisten dengan orang tidak siuman.

"Pada keterangan daripada Noorhaslinda Diyana Hassan menyatakan, ketika kejadian tertuduh ada berkata "maafkan aku Linda aku dah lama berdendam". Tertuduh juga telah menunjukkan belas kasihan kepada orang disayangi iaitu neneknya yang tidak dicederakan.

"Mahkamah dengan itu menolak pembelaan insanity tertuduh, sekali gus pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah. Tertuduh didapati bersalah dan disabitkan bagi pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi pertuduhan satu hingga tiga iaitu hukuman gantung sampai mati.

"Bagi pertuduhan keempat dan kelima, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan," katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Badius Zaman Ahmad, Nabilalif Mohd Rosli dan Mazuin Hashim mengemukakan seramai 25 saksi sepanjang perbicaraan bermula 22 Oktober 2018.

Sementara itu Peguam Azrul Zulkifli Stork, Fahmi Sulaiman dan Lim Kah Ee yang mewakili tertuduh mengemukakan hanya seorang saksi.

Habis