ADLY ZAHARI
ADLY ZAHARI 

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, sepanjang Januari hingga Mac lalu, sebanyak 4,792,077 orang pelancong dicatatkan, meningkat sebanyak 713,306 orang atau 17.49 peratus berbanding 4,078,771 sepanjang tempoh yang sama tahun lalu.

Beliau berkata, jumlah pelancong domestik juga turut mencatatkan pertambahan 30 peratus atau 805,086 orang kepada 3,409,295 orang berbanding 2,604,209 bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Bagaimanapun katanya, jumlah pelancong asing berkurang kepada 1,382,782 orang berbanding 1,474,562 orang pada tempoh yang sama tahun lalu.

“Pelancong asing teramai datang dari China (46.2%), diikuti Singapura (17.31%), Indonesia (8.34%), Taiwan (4.6%) dan Hong Kong (3.05%).

“Pelancong domestik pula datang daripada Selangor (13.11%) diikuti Johor (11%), Kuala Lumpur (9.92%), Negeri Sembilan (6.14%) dan Pahang (5.7%),” katanya dalam sidang akhbar mesyuarat Exco kerajaan negeri di pejabatnya di Seri Negeri di sini sebentar tadi.

Menurut Adly, statistik kedatangan pelancong ke Melaka diperolehi daripada rekod 422 premis penginapan pelancong seluruh negeri, pelancong kesihatan, pelancong yang berkunjung di 37 tempat tarikan pelancongan dan pelancong pelajar.

Beliau berkata, empat hospital swasta yang menawarkan pakej pelancongan kesihatan di negeri ini adalah Hospital Putra Specialist, Mahkota Medical Center, Hospital Pantai dan Oriental Melaka Straits Hospital.

Sementara itu, Adly meminta semua pengusaha yang menjadikan apartmen, banglo dan kediaman persendirian sebagai inap desa supaya berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Langkah ini katanya perlu kerana tindakan pengusaha inap desa tidak berdaftar menyukarkan pengawalan pihak berkuasa dan pengabaian mutu perkhidmatan yang seterusnya boleh menjejaskan imej industri pelancongan negeri.

“Badan Promosi Pelancongan (BPP) telah diminta menyediakan kertas cadangan berhubung perkara ini untuk diambil tindakan lanjut,” kata beliau. - UTUSAN ONLINE