Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, buat masa ini perkhidmatan monorel rekreasi itu hanya mempunyai sebuah gerabak sahaja yang mampu membawa maksimum sehingga 750 penumpang sehari.

Menurutnya, penambahan gerabak baharu itu dilihat perlu bagi membolehkan operasi yang lebih kerap selain meningkatkan kapasiti penumpang dalam satu-satu masa.

“Sejak dimulakan awal bulan ini, Monorel Melaka telah meneri­ma lebih 9,000 penumpang dan ia merupakan satu pencapaian baik malah kita yakin jumlah itu mampu ditingkatkan lagi dengan adanya penambahbaikan terma­suk tambahan gerabak baharu.

“Jadi kita telah bersetuju untuk memulakan operasi gerabak kedua bulan depan (Januari) yang dijangka dapat membawa tambahan 700 lagi penumpang dalam satu hari,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Monorel Tour Ride, di Stesen Monorel Tun Ali, di sini.

Yang hadir sama Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Pantai, Sungai dan Pulau-pulau negeri, Datuk Ghazale Mohamad; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Zainal Hussin dan Ketua Pegawai Eksekutif Monorail Theme Park & Studios Sdn. Bhd., Lim Boon Peng.

Jelas Idris, beliau menganggap kejayaan menghidupkan semula operasi Monorel Melaka itu sabagai satu pencapaian membanggakan daripada semua pihak terlibat namun ia perlu dikekalkan agar dapat dijadikan tarikan baharu pelancongan di negeri ini.

“Justeru, apa yang lebih pen­ting sekali adalah aspek penyelia-an operasi monorel ini dan pihak pengurusan perlu meletakkan budaya penyeliaan sebagai keutamaan terutamanya dalam me­ngendalikan mesin-mesin berge-rak seperti monorel ini supaya ia dapat bertahan lama.

“Kalau tak ada budaya penyeliaan yang berkualiti termasuk sebelum, semasa dan selepas pe­ngendaliannya, saya khuatir monorel ini akan bergerak sekejap sahaja,” ujarnya.

Tambahnya, pihak pengurusan juga diingatkan agar meletakkan aspek keselamatan penumpang sebagai perkara utama bersesuai-an dengan status Melaka sebagai negeri pelancongan selamat.