Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Low Chee Leong berkata, perkhidmatan terbaharu yang menggunakan motosikal elektrik (e-Bike) itu merupakan penambahbaikan bagi program Melbert yang telah dimulakan di negeri ini sejak 2016.

Menurutnya, walaupun Melbert 2.0 diperkenalkan, perkhidmatan Melbert menggunakan basikal tetap dite­ruskan bagi mempelbagaikan lagi pendekatan bantuan kecemasan oleh anggota paramedik selain meningkatkan bilangannya dari semasa ke semasa.

"Sehingga kini, terdapat dua buah basikal dan sebuah e-Bike yang digunakan untuk membantu memberikan bantuan kecemasan awal kepada orang ramai yang memerlukan di kawasan tumpuan pelancong sekitar Banda Hilir.

"Saya juga telah bersetuju untuk menyumbangkan sebuah lagi e-Bike kepada pasukan Melbert ini sebagai usaha meningkatkan kecekapan perkhidmatan kepada orang ramai," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Paramedic Emergency Update Melaka (iPremium) 2018 di Bukit Katil di sini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Kesihatan (Perubatan) negeri, Datuk Dr. Dulhadi Mat Junid dan Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka, Dr. Mohammad Fadhly Yahya.

Chee Leong berkata, usaha penambahbaikan itu akan membantu mempercepatkan lagi tempoh kehadiran anggota paramedik ke lokasi kecemasan berbanding penggunaan basikal.

"Ini dilaksanakan selepas mengambil kira keadaan jalan raya di negeri ini yang sempit dan sering berlaku kesesakan khususnya di kawasan tumpuan pelancong pada hujung minggu dan cuti persekolahan," ujarnya.

Sementara itu Mohammad Fadhly berkata, perkhidmatan pasukan Melbert itu buat masa ini dilaksanakan pada Sabtu dari pukul 9 malam hingga 1 pagi di kawasan Jonker Walk, Menara Taming Sari dan Kota A'Famosa.

"Perkhidmatan ini dikendalikan dua anggota paramedik mengikut jadual selain akan dibantu secara sukarela oleh pegawai-pegawai kesihatan lain termasuk doktor pakar bagi memberi bantuan kecemasan awal kepada orang ramai yang mengalami masalah kesihatan sebelum dirujuk pihak hospital," jelas beliau.