Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Tey Kok Kiew berkata, projek Rumah Peduli ini akan diteruskan selepas kerajaan negeri menerima tambahan peruntukan sebanyak RM3 juta daripada kerajaan Pusat baru-baru ini.

Beliau berkata, tambahan peruntukan itu diterima susulan kejayaan pembinaan rumah berkenaan bagi fasa pertama di Lipat Kajang, Merlimau.

“Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika merasmikan projek Rumah Peduli bulan lalu memuji langkah kerajaan negeri Melaka membina rumah untuk golongan kurang berkemampuan dan hasilnya, kerajaan Pusat bersetuju meluluskan peruntukan tambahan RM3 juta.

“Malah ada beberapa negeri seperti Selangor, Negeri Sembilan dan Kedah telah menghubungi kita menyatakan minat untuk mendapatkan idea membina rumah berkonsep seperti ini,” katanya.

Beliau ditemui pada sesi rehat Persidangan Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-14 di Seri Negeri di sini sebentar tadi.

Perdana Menteri pada 10 Jun lalu memuji tindakan kerajaan negeri Melaka membina Rumah Peduli bagi membantu golongan berkelayakan memiliki rumah.

Kok Kiew (DAP-Banda Hilir) sebelum itu menjawab soalan Rahmat Mariman (BN-Ayer Molek) mengenai pembinaan projek Rumah Peduli serta jumlah penerimanya setakat ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, lokasi pembinaan Rumah Peduli akan ditentukan selepas pihaknya menerima permohonan daripada penduduk Melaka yang berkelayakan.

Katanya, pemohon boleh membuat permohonan di setiap Kompleks Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan Dewan Undangan Negeri (Japerun) masing-masing.

“Setiap permohonan akan dibincangkan dalam mesyuarat Exco setiap minggu sebelum diluluskan,” katanya. - UTUSAN ONLINE