Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, pembinaan perumahan buat jangka panjang itu akan dibangunkan secara berperingkat-peringkat mengikut kemampuan kewangan kerajaan negeri.

Menurutnya, inisiatif itu merupakan antara perancangan kerajaan negeri bagi mengatasi masalah banjir yang tiada penyelesaian di beberapa kawasan ‘hotspot’ di negeri ini.

“Ia juga adalah usaha menyeluruh dan dianggap jalan penyelesaian terbaik dengan menyediakan penempatan baharu buat mangsa-mangsa banjir agar mereka tidak berdepan masalah sama.

“Kita akan dapatkan maklum balas daripada setiap wakil rakyat di kawasan terlibat bagi mendapatkan maklumat berkaitan bilangan penduduk dan akan menilai semula kos-kos peruntukan termasuk kos pengambilan aset daripada kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Belimbing Dalam di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal, Datuk Mohd. Sofi Abdul Wahab dan ADUN Machap Jaya, Ginie Lim Siew Lin.

Jelas Adly, pembinaan perumahan itu merupakan mekanisme baharu selain meneruskan projek tebatan banjir di Alor Gajah, Melaka Tengah dan Jasin bagi mengatasi masalah jangka panjang.

“Walaupun kita cuba menyelesaikan masalah pintu baraj air di negeri ini namun ia tidak mampu menyelesaikan masalah banjir secara total malah ia hanya bersifat penyelesaian sementara,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE