Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, sembilan projek naik taraf kemudahan pelancongan di kawasan tumpuan pelancong itu membabitkan pelaburan sebanyak RM765.35 juta.

“Jalinan usahasama dengan tempoh perjanjian antara lima hingga 30 tahun itu dijangka memberi pulangan dalam pelbagai bentuk selain menawarkan peluang pekerjaan baharu.

“Ini termasuk tambah nilai kepada produk pelancongan sedia ada di Sungai Melaka, Restoran Melayu Melaka, AKCC, Menara Taming Sari dan Pla­netarium selain pulangan dalam bentuk ‘in-kind’ dan tunai serta penghasilan cenderamata pelancongan baharu,” katanya ketika sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani kesemua perjanjian itu di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini baru-baru ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Hasim Hasan; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhamad Jailani Khamis; Pegawai Kewangan Negeri, Hanafi Sakri dan Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Azlan Abidin.

Jelas Adly, jalinan usahasama itu melibatkan PPSPM dan anak syarikatnya, Sungai Melaka Ventures Sdn. Bhd. (SMVSB) selain Menara Taming Sari Berhad, Planetarium Melaka Sdn. Bhd. (PMSB) dan Ayer Keroh Country Club Berhad (AKCC). Manakala syarikat pelabur terlibat ialah River Impression, Axtrium Biosis, Newstar Pavilion, Tun Fatimah Riverside Hotel Management, Pilihan Lampiran, Rezhal Enterprise, First Reliance Target dan NCT Green City.

Jelas beliau, perjanjian tersebut termasuk melaksana pencahayaan dan penyelenggaraan lampu di sepanjang Sungai Me­laka, penghasilan cenderamata Royale Melaka, penghasilan produk ‘Ole-ole Melaka’ sebagai cenderamata pelancongan negeri dan perjanjian menyediakan masakan kemelayuan di Restoran Melayu Melaka.

“Perjanjian itu turut melibatkan pengenalan kad debit, Melaka Excess untuk perbelanjaan tanpa tunai selain pembangunan gerai dan khemah untuk beristirehat di pekarangan Melaka Taming Sari, pembangunan Melaka Planetarium Adventure Science Centre serta pembangunan semula AKCC,” katanya.

Tambah beliau, jalinan usahasama yang termeterai itu diharap akan merancakkan lagi aktiviti ekonomi dalam sektor pelancongan di Melaka.

“Diharapkan agar usahasama ini juga dapat membantu menarik lebih ramai pelancong sempena Tahun Melawat Melaka 2019 dan seterusnya Tahun Melawat Malaysia 2020,” ujarnya.