Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, bayi berkenaan yang masih mempunyai tali pusat dijumpai dalam keadaan berbalut dengan kain dan terdapat kesan darah pada hidung.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh orang awam yang menghubungi Balai Polis Malim pada pukul 6.45 pagi.

“Berdasarkan nota yang ditulis atas kertas putih, bayi malang itu dipercayai dilahirkan pada Sabtu lalu.

“Bagaimanapun, bayi itu dipercayai telah meninggal dunia dalam tempoh dua jam sebelum ia ditemukan berdasarkan kepada keadaan mayat yang masih baharu dan belum mengeras,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Afzanizar, selain pendarahan pada hidung, terdapat kesan lebam kehitaman di muka dan bahagian badan bayi itu.

Tambah beliau, siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca kematian dan ibu bayi berkenaan masih dijalankan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran. - UTUSAN ONLINE