Ini kerana, Masjid Tanah yang merangkumi kawasan seluas kira-kira 330 kilometer persegi dan mempunyai pengundi berjumlah 51,252 orang menerima banyak pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) selaku pelaksana mandat mentadbir kawasan tersebut.

Daripada sebuah pekan kecil di utara Melaka yang terletak bersempadan dengan Negeri Sembilan, Masjid Tanah kini berubah wajah menjadi lembah ilmu apabila terdapat 15 buah pusat pengajian yang menyediakan peluang pengajian bukan sahaja kepada penduduk setempat malah masyarakat dari luar.

Antara pusat pendidikan yang terdapat di kawasan Parlimen ini iaitu Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka kampus Alor Gajah di Lendu, Kolej Matrikulasi Londang, Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM), Akademi Laut Malaysia (Alam) dan Maktab Rendah Sains Mara Alor Gajah.

Jelas sekali di bawah pentadbiran kerajaan BN, Masjid Tanah tidak terkecuali daripada mene­rima lonjakan pembangunan dan bukti itu jelas dilihat apabila rata-rata pengundi di kawasan ini selesa dengan pentadbiran sedia ada.

Selain memberi penekanan kepada bidang pendidikan, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin memaklumkan bahawa beliau juga sentiasa mencari peluang untuk membawa lebih banyak kemajuan ke kawasan itu.

Antara projek pembinaan yang sudah dilaksanakan di bawah pentadbiran beliau adalah Kompleks Sukan Masjid Tanah bernilai RM10 juta yang siap sepenuhnya pada 1 Februari lalu. Kompleks sukan ini terletak satu kilo­meter dari pekan Masjid Tanah dan mengandungi satu blok dua tingkat dewan serbaguna berkapasiti 1,000 orang, enam gelanggang badminton, asrama berkapasiti 40 orang dan pejabat pentadbiran serta dataran terbuka.

Sentuhan kedua Mas Ermieyati adalah Masjid Tanah Sentral yang siap sepenuhnya pada 27 Februari lalu dan ia merupakan perhentian bas yang baharu untuk kegunaan penduduk di kawasan ini.

Selain dua projek tersebut, ba­nyak lagi pembangunan dan perancangan dilaksanakan di kawasan ini antaranya pembinaan Masjid Tanah Mall, Taman Rekreasi Durian Daun dan pembinaan Masjid Salmah Khamis yang diilhamkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta Masjid Jamek Putra.

Lokasi pelancongan terkenal di Masjid Tanah antaranya Pengkalan Balak, Tanjung Bidara, Kota Supai, Kuala Sungai Baru dan Taman Cenderalokan juga akan dimajukan bagi menarik kedatangan lebih ramai pelancong ke kawasan ini.