Kutipan zakat itu melibatkan dua kaedah pembayaran berdasarkan jenis beras digunakan penduduk iaitu 88.53 peratus beras super tempatan manakala 11.46 peratus lagi menggunakan beras super import dan basmati.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, peratusan ini dibuat oleh Badan Kawal Selia Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani cawangan Melaka.

“Kerajaan negeri mengambil kira jenis beras digunakan majoriti rakyat ini sebagai kayu pengukur dalam penetapan dua kadar zakat berbeza.

“Dua kaedah ini dilaksanakan bagi menggalakkan umat Islam membayar zakat mengikut beras dimakan supaya amalan lebih sempurna dan tepat di samping menambah amalan sedekah jariah,” katanya.

Adly (Amanah-Bukit Katil) berkata demikian pada Persidangan Kedua Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-14 di Seri Negeri di sini sebentar tadi.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang) mengenai penjelasan zakat fitrah dibayar mengikut dua kaedah dan jumlah kutipan zakat berkenaan tahun ini dan tahun sebelumnya.

Kerajaan negeri tahun ini menetapkan kadar zakat fitrah sebanyak RM7 bagi beras super tempatan manakala RM14 bagi beras super import dan basmati.

Adly turut menjawab soalan dikemukakan Datuk Sulaiman Md Ali (BN-Lendu) berhubung pecahan kutipan bagi dua kaedah bayaran itu, iaitu 80.3 peratus atau RM3.98 juta bagi kutipan RM7 manakala 10.7 peratus atau RM477,890 bagi kutipan RM14 membabitkan 595,393 orang. - UTUSAN ONLINE