Tanpa pemimpin yang berkaliber, pencapaian pada pemba­ngunan semata-mata tidak membawa sebarang erti kepada rakyat. Ketrampilan pemimpin yang di­senangi rakyat, mendengar keluhan dan mampu menyelesaikan permasalahan menjadi penentu kejayaan pemimpin.

Itulah yang dijadikan prinsip dan cuba dicapai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong sehingga diberi kepercayaan memikul jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Pemulihan Projek dan Perdagangan Antarabangsa negeri.

Dalam kesibukan memikul pelbagai portfolio dan jawatan, Ban Hong yang merupakan Pengerusi MCA Melaka tidak pernah me­­­n­g­­adaikan mandat sebagai wakil rakyat yang disandang daripada PRU lalu.

Walaupun hanya baru sepenggal, pelbagai pencapaian di­buktikan oleh Ban Hong meliputi pelbagai aspek kehidupan masyarakat baik dari segi sosial, ekonomi, pendidikan dan agama.

Antara sumbangan penting yang dilaksanakan beliau adalah projek menaik taraf Jeti Warisan Klebang Besar yang memberikan kemudahan dan keselesaan kepada warga nelayan di sekitar kawasan itu.

Begitu juga dengan keluhan penduduk di kawasan yang kerap dilanda banjir. Penambah baikan fasa pertama sistem perparitan di DUN Klebang telah pun siap dengan kos RM30 juta. Usaha yang sama diteruskan di beberapa kawasan yang kini telah pun memasuki fasa kedua dan ternyata telah menyelesaikan banjir kilat.

Kemajuan dalam sektor pe­lancongan juga dilihat seiring de­ngan pencapaian kerajaan ne­geri. Selain memberi cakna kepada destinasi yang berpotensi, Ban Hong juga komited dalam membawa masuk lebih banyak pelaburan dalam sektor itu.

Antara pelaburan terbesar di kawasan itu adalah pembangunan rangkaian hotel antarabangsa iaitu Hotel Sheraton Klebang yang dijangka siap menjelang 2025 dengan kos pelaburan RM5.2 juta.

Dalam pembangunan pendidikan di kawasan itu, setiap keluhan sentiasa diberi perhatian. Terbaharunya, pelajar-pelajar di Sekolah Kebangsaan Bukit Rambai yang sebelum ini tidak mempunyai kantin telah menikmati kemudahan itu sejak awal tahun ini.

Bahkan dalam kalangan ma­syarakat beragama Islam, wakil rakyat Barisan Nasional itu tidak pernah menolak kepentingan aspek sosial dan rohani.

Sejak memikul tanggungjawab sebagai ADUN Klebang, tiga buah masjid baharu dibina demi memenuhi keperluan dan ke­selesaan penduduk di kawasan itu yang kini mempunyai enam buah masjid.

Yang pasti, penduduk di DUN Klebang yakin pentadbiran BN di kawasan itu tetap menjanjikan kerajaan yang prihatin dan berwawasan.