Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kebocoran bahan kimia yang dikesan pada pukul 11 pagi semalam itu telah dibersihkan sepenuhnya oleh Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Menurutnya, pihak Hazmat telah masuk ke tempat kejadian bermula pukul 11.30 pagi semalam untuk melakukan kerja-kerja menyahcemar kawasan kebocoran gas berbahaya tersebut selama lebih 15 jam.

"Hazmat berjaya menutup kebocoran terakhir pada saluran paip gas kira-kira pukul 2.40 pagi tadi dan kawasan itu telah dibiarkan selama empat jam untuk memastikan baki gas tersebut hilang sepenuhnya.

"Pada jam 10.32 pagi ini, saya telah menerima pengesahan terakhir daripada Hazmat bahawa kilang ini selamat dan bebas dari pencemaran gas ammonia," katanya ketika sidang akhbar di lokasi kejadian, di sini sebentar tadi.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Low Chee Leong; Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Zulkifli Nordin; Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Arshad Abu dan Pegawai Daerah Jasin, Datuk Anis Ali Hasan.

Jelas Raiz Mukhliz, kilang ini telah disahkan selamat dan tiada lagi kebocoran namun keselamatan pengoperasian kilang hanya akan diberikan kebenaran oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

"JAS dan JKKP akan melaksanakan pemeriksaan terakhir di kilang berkenaan yang dijangka mengambil masa antara dua hingga empat jam," ujarnya.

Dalam kejadian itu menyebabkan, sebanyak 33 mangsa terdiri daripada pekerja kilang tersebut dikejarkan ke hospital selepas mengalami muntah, sakit mata dan sesak nafas.

Bagaimanapun setakat tengah hari ini, hanya 16 mangsa yang masih mendapatkan rawatan masing-masing 12 orang di Hospital Melaka dan empat di Hospital Jasin. - UTUSAN ONLINE