Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, pihaknya memperuntukkan sejumlah RM100,000 bagi setiap pusat aktiviti baharu itu

merangkumi proses pembelian peralatan, penambahbaikan dan pengubahsuaian premis dan urusan operasi.

"Dua buah PAWE lagi akan diwujudkan di Melaka iaitu di Paya Rumput iaitu dalam Parlimen Tangga Batu dan di Merlimau dalam Parlimen Jasin dan ini menjadikan jumlah pusat aktiviti itu kepada lima buah.

"Ketika ini kita mempunyai tiga buah PAWE iaitu di Alor Gajah, Bukit Baru dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan sepanjang tahun ini, peruntukan pengurusan bagi setiap PAWE sedia ada adalah sebanyak RM33,330," katanya dalam sidang akhbar mesyuarat Exco kerajaan negeri di pejabatnya di Seri Negeri di sini pagi ini.

Menurut Adly, setiap PAWE akan berperanan sebagai pusat perkhidmatan bercorak pendampingan sosial dan pembangunan kepada warga emas melibatkan kerjasama antara Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan agensi kerajaan lain serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, pelbagai aktiviti disediakan di PAWE antaranya aktiviti keagamaan, rekreasi, terapi dan pemulihan, ceramah kesihatan, latihan serta kursus yang bersesuaian.

Sementara itu, beliau memaklumkan, kerajaan negeri mengambil inisiatif termasuk mendapatkan pandangan daripada perunding bagi mencari langkah penyelesaian terbaik menangani masalah banjir yang berlaku sejak 15 tahun di negeri ini termasuk dalam kejadian terbaharu pada Ahad lalu.

Beliau berkata, antara penyelesaian jangka pendek yang akan diambil adalah mengenal pasti mangsa banjir yang tinggal di kawasan rendah dan mereka boleh ditempatkan di lokasi lain atau ditawarkan memiliki Rumah Peduli.

"Pada masa yang sama baraj Sungai Melaka akan diperbaiki secepat mungkin bagi mengelak berlaku banjir besar di bandar raya ini akibat hujan lebat atau air pasang besar.

"Untuk itu, Setiausaha Kerajaan negeri (Datuk Hasim Hasan) selaku Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri akan menyelaras urusan berkaitan pelepasan air yang melibatkan pam dan baraj bagi menangani masalah banjir," katanya. - UTUSAN ONLINE