Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, resort calet atas air itu akan dibangunkan di kawasan konsesi seluas 13.04 hektar di hadapan Pulau Melaka dalam daerah Melaka Tengah, di sini.

Menurutnya, selain kawasan konsesi, pembangunan calet berkenaan turut akan melibatkan kawasan atas darat seluas 1.7 hektar.

“Pembangunan calet terapung itu bagaimanapun hanya tertumpu kepada resort pelancongan sahaja dan tidak melibatkan sebarang aktiviti laut seperti tambakan atau sebagainya.

“Pembangunan tarikan baharu berkenaan dijangka bermula tahun depan dan akan siap sepenuhnya dalam tempoh empat tahun selepas tarikh mula projek,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani usahasama antara kerajaan negeri dengan Parkland Diversified Sdn. Bhd. di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Hasim Hasan; Pengarah Urusan Kumpulan Parkland, Victor Tan dan Pengarah Parkland Diversified, Tan See Sen dan Tee Kai Loon.

Jelas Adly, resort dengan kos keseluruhan bernilai RM350 juta itu bakal menyediakan kemudahan sebuah pusat konvensyen terapung yang juga pertama di negeri ini.

“Pembangunan resort itu membabitkan pembinaan 300 unit calet terapung selain beberapa kemudahan termasuk kolam infiniti, aktiviti air, restoran dan kafe, pelantar memancing, anjung tinjau, marina dan skyview,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE