Pengarah MWI, Datuk Saroni Judi berkata, PWSA sebuah pusat latihan bertauliah kendalian PBA (Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang) Resources Sdn Bhd (PBAR) akan bersama dalam menjalankan kursus sepenuh masa Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) iaitu Diploma Operasi Agihan Air, Diploma Perkhidmatan Operasi Rawatan Air serta Diploma Pengurusan Air dan Sisa Kumbahan.

Beliau berkata, program itu bukan sahaja ditawarkan kepada pelajar lepasan Sijil Pelajar Malaysia (SPM) malah kepada warga kerja syarikat air dari seluruh negara untuk mendapatkan diploma dalam bidang berkenaan. Kira-kira 300 pelajar disasarkan bagi sesi pemgambilan pertama kursus berkenaan tahun hadapan.

"Tawaran ini juga membolehkan pekerja yang masih tidak mempunyai diploma mengambil persijilan untuk pembangunan kerjaya sekali gus melatih mereka menjadi lebih kompeten dalam bidang itu," katanya pada sidang akhbar di Kampus Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (ICYM) di sini hari ini.

Terdahulu Saroni mewakili KYM STES Sdn Bhd menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan PBAR, yang diwakili oleh Ketua Pegawai Operasinya, Datuk Jaseni Maidinsa.

Beliau berkata, menerusi perjanjian kedua-dua pihak itu membolehkan kerjasama membangunkan modal insan terlatih dalam pengurusan sekali gus memperkasa industri air negara sehingga ke peringkat tertinggi. - BERNAMA