Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob berkata, empat teras utama yang perlu diberi tumpuan itu adalah memberi fokus kepada mutu siaran, mengutamakan komunikasi dua hala, maklumat kepada semua kaum selain memberi tumpuan kepada generasi muda.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Pengarah Penyiaran Melaka, Ibrahim Ismail di pejabat Yang Dipertua Negeri di Seri Negeri Ayer Keroh di sini semalam.

Menurut Ibrahim, dalam kunjungan itu beliau memaklumkan mengenai hasrat MelakaFM untuk terus menjadi stesen pilihan kepada hampir sejuta penduduk Melaka dengan tema mereka iaitu Radio Nombor 1 Orang Melaka.

Katanya, Tun Mohd. Khalil meminta stesen radio tersebut memberi fokus kepada mutu siaran terutama program-program yang dikeudarakan mestilah selaras dengan aspirasi kerajaan negeri.

“Beliau juga meminta komunikasi dua hala dalam penyiaran perlu diberi perhatian agar tidak tersasar daripada aspek menyebarluaskan mesej kerajaan negeri kepada khalayak.

“Selain itu, program yang dikendalikan tidak hanya tertumpu kepada sesuatu kaum dan perlu dipeluaskan kepada kaum-kaum lain di negeri ini agar penyampaian kerajaan sampai kepada kumpulan sasar,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Radio Malaysia Melaka atau MelakaFM merupakan stesen milik Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang dipancarkan ke seluruh negeri ini dan kawasan berhampiran seperti Tampin, Palong dan Port Dickson di Negeri Sembilan; Muar, Batu Pahat, Kluang, Segamat, sebahagian Kota Tinggi, Pontian Utara dan Johor Bahru Utara/Kulai Utara di Johor dan Muadzam Shah di Pahang.

Stesen radio ini pernah dikenali sebagai Radio Malaysia Melaka, Radio 3 Melaka dan Radio Malaya Melaka dan kini, MelakaFM.

Menurut Ibrahim, dalam masa yang sama stesen itu juga perlu memberi fokus kepada generasi Y agar golongan itu dapat menyuarakan suara hati melalui program-program yang dibentuk.

Beliau berkata, sejak memegang jawatan sebagai Pengarah stesen itu pada Januari lalu, banyak program telah dirombak dan menjadi keutamaan stesen bagi memberi laluan kepada program pelbagai bangsa antaranya Belajar bahasa seperti Portugis, Tamil, Mandarin dan Inggeris.

Bagi generasi Y katanya, stesen itu telah mewujudkan program IM4U iaitu menyajikan berbagai info di samping menyiarkan lagu-lagu kegemaran mereka.

“Bagi membantu industri pelancongan negeri pula, MelakaFM menyiarkan program berbahasa Inggeris ‘My Destination’ pada setiap hari bermula pukul 9.15 malam.

Katanya, cadangan daripada Yang Dipertua Negeri itu memberi rangsangan terbaik untuk stesen itu terus menjadi pilihan orang Melaka menerusi saluran 102.3 FM.